Thursday, May 14, 2009

Bekerja Bersama-Sama

Pagi ini aku dikejutkan dengan satu sms dari us Rusdan bertanyakan soalan pksr bahasa Arab tahun 5. Waktu itu baru pukul 4 pagi. Sehari sebelum itu, us Wan Mohd Zuhairi juga bertanyakan perkara yang sama. Aku terus telefon beliau ( sebenarnya aku tidak suka sms, aku lebih suka menggunakan telefon, lebih jelas dan berfakta berbanding sms). Us Rushdan memberitahuku bahawa soalan pksr tahun 5 belum diedarkan lagi. Ini menimbulkan masalah kepada semua guru-guru ba di seluruh negara. Aku jelaskan kepadanya, semua tugasan dan bahan yang perlu dicetak telah diambil alih oleh pegawai baru sebagaimana yang telah ku jelaskan dalam nota serah tugas sebelum aku berangkat ke Jordan lebih tujuh bulan yang lalu. Sebenarnya perkara ini tidak berbangkit lagi. Tugas ini sepatutnya dilaksanakan oleh pegawai baru yang dipertanggungjawabkan utk tugas berkenaan. Aku faham perasaan mereka. Kalau boleh aku nak tolong mereka dan selesaikan masalah ini bersama. Hendak rasanya aku pulang ke Malaysia dan cetak semua soalan itu untuk peperiksaan pertengahn tahun ini. Kesusahan mereka itu telah menjadi sebahagian keresahan dan kesusahan ku juga.

Sebenarnya, sebelum aku bertugas di JAPIM tahun 2005, aku tidak pernah terfikir untuk bekerja di pejabat. Pada fikiranku setelah tamat belajar, aku akan menghabiskan umurku dengan berkhidmat sebagai pendidik. Itulah yang ku jangka. Tapi semuanya adalah takdir Allah. Pada Feb 2005, aku menerima arahan bertukar ke JAPIM tanpa ku jangka dan ku pohon. Sebagai pegawai yang setia aku akur. Aku melapor diri di JAPIM dalam kebingungan. Pelbagai persoalan yang menerjah benak fikiranku. Apa tugasku? Mampukah aku? dan sebagainya. Di JAPIM tiada seorang pun yang membimbing. Lagipun pada waktu itu program j-QAF baru bermula. Semuanya zero. Aku mengambil masa untuk berfikir dan merancang. Banyak kekurangan pada diriku. Aku perlu mencari rakan dan membentuk team untuk menjalankan tugas. Sebelum itu, nama Us Rushdan, Us Wan Mohd Zuhairi, Us Lufti dan rakan-rakan yang lain amat asing bagiku. Apa kekuatan mereka pun juga aku tidak ketahui, tetapi aku perlu memecahkan bongkah keasingan itu supaya aku boleh terus kedepan. Alhamdulillah dari perasaan asing akhir sekali menjadi satu ikatan erat seperti tali bersimpul mati. Aku menemui kekuatan dari rakan-rakan. Pandangan, teguran, kritikan hinggakan gurauan mereka begitu sebati dalam diriku. Semua itu memberi keyakinan dalam setiap langkahku. Orang yang paling rapat dan banyak memberi sokongan kepadaku ialah us Hasmadi. Terima kasih Dato'. Dari sinilah aku terus merancang dan melaksanakan tugas dengan penuh semangat. Semangat yang dibekalkan oleh kawan-kawan sehingga hampir semua masalah teknikal pelaksanaan Bahasa Arab dapat diatasi dengan baik. Bukan mendabik dada. Wal iyazubillah.

Sebelum berangkat ke Jordan, sebenarnya hatiku menangis. Sedih meninggalkan kawan-kawan. Sedih meninggalkan tugasku utk memartabatkan B. Arab. Tiada lagi selepas ini hilai tawa rakan-rakan sewaktu bermesyuarat, gurau senda mereka dan kenangan manis dan pahit bersama. Semua itu terpaksa ku tinggalkan untuk bertugas dalam keadaan dan suasana baru yang lebih mencabar.

Biar sebesar mana tugas yang diberi, kita boleh melakukannya dengan syarat kita mempunyai cita-cita tinggi. Cita-cita tinggi akan berkubur tanpa perancangan dan strategi. Strategi juga akan tempang tanpa sokongan dan bantuan rakan-rakan. Gabungan ketiga-tiga unsur inilah yang memberi kekuatan kepada kita. Kebolehlaksanaan kita dalam sesuatu tugas bukan pada kekuatan kita semata tapi gabungan ketiga-tiga unsur itu tadi. Mungkin untuk bercita-cita tinggi dan mempunyai strategi boleh dimiliki oleh seseorang, tetapi kebersamaan rakan-rakan dan bagaimana menambat hati mereka juga perlukan kemahiran kerana mereka akan bekerja dengan kita. Sokongan mereka boleh mengukuh dan menyempurnakan tugas manakala silap perkiraan mendapat sokongan mereka boleh menggagalkan usaha walau secantik dan seindah manapun perancangannya.
Oleh itu, aku dengan rendah hati memohon rakan-rakan supaya bekerjalah bersama-sama untuk hasil yang akan dipetik dan dinikmati bersama. Jangan malu bertanya sekalipun kita dituduh bodoh. Lebih baik bodoh yang boleh diajar daripada cerdik yang kurang ajar. Maaf atas keluhan secara terbuka ini..........