Sunday, February 22, 2009

Catatan Semalam


Ladies Di Brunei Party


Aku bersama Mark Ryniak (2nd Secretary USA Embassy)


Terlebih dahulu aku ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakanku Us Hasmadi Hamdan dan Ustazah Habibah (Atase Pendidikan di Alexandaria) dan keluarganya yang sudi berkunjung ke teratak buruk tempat aku dan keluarga menumpang teduh. Hanya layanan tak seberapa yang kami dapat berikan. Jutaan kemaafan juga dipohon sekiranya terdapat ketidaksempurnaan layanan kami sewaktu kalian bertamu di teratak kami. Mudah-mudahan layanan tetamu yang kami sekeluarga berikan adalah tanda keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Amin. Aku sentiasa mengingatkan isteri dan anak-anak agar menghormati tetamu. Walau bagaimana penat sekalipun, tetamu perlu dihormati dan dilayan dengan sebaik mungkin. Itu yang cuba kami lakukan. Mereka datang menbawa rahmat dan menghilangkan segala kesuraman yang melanda.


Dalam kesempatan ini, ku ingin catatkan sedikit peristiwa yan dilalui minggu ini. Minggu ini adalah minggu yang paling sibuk utk aku hadapi. Bermula dengan hari ahad, aku perlu menyediakan laporan penting di samping beberapa kerja yang perlu dibereskan sebelum petang. Cuaca pada hari ini juga agak sejuk. Anak-anak sebelum ke sekolah, menjenguk ke luar rumah meninjau-ninjau kalau -kalau ada salji turun. Itu yang mereka tumggu-tungu. Tapi sayang, belum ada rezeki mereka mungkin. Besok ( 23 Feb 09) pula ,sebelah pagi ada taklimat keselamatan di Yarmook University, manakala sebelah malamnya, aku dan isteri perlu menghadiri The 25th Anniversary of The National Day of Brunei Darussalam di Hayatt Amman Hotel . Ketibaan Tetamu dari Johor juga menjadikan masaku minggu ini penuh. Courtesy call bersama Dato' Duta perlu diadakan pada 24 Feb 2009 dan sebelah malamnya perjumpaan dengan semua pelajar Johor diadakan di Dewan Abu Ain, Irbid. Kereta yang kunaiki seolah-olah ada sayap, kerana kami perlu berkejaran ke sana ke mari. Pada 25 Feb, sebelum hadir mesyuarat di JUST sekali lagi aku ke airport untuk menghantar tetamu dari Johor pulang ke Malaysia.

Anak-anak terpaksa menguruskan diri masing-masing dalam suasana kesibukan begini. Along pastinya tahu apa yang perlu dilakukannya dalam keadaan begini. Alhamdulillah mereka telah memahami. Anak-anak juga terpaksa ditinggalkan sendirian di rumah. Begitulah keadaan apabila kesibukan melanda. Ada masanya kami terpaksa meninggalkan anak-anak hingga jam 12.oo tengah malam seminggu berturut-turut kerana menghadiri majlis. Awalnya mereka merungut, setelah dijelaskan keadaan mereka faham. Begitulah kita dengan anak-anak, banyak ruang diplomasi yang boleh digunakan. Give and take approach juga selayaknya dipraktik dalam keadaan kesibukan seperti ini. Ini akan menjadikan anak-anak seronok dan kita akan gembira apabila melihat mereka gembira.

Aku juga berterima kasih kepada isteriku yang sentiasa setia dan memahami. Dia menolak tawaran guru pakar kerana ingin bersama aku dan anak-anak di sini. Pernah ku katakan padanya, ini adalah untuk masa depan. Jangan pula nanti kerana disebabkan aku, peluang dilepaskan begitu sahaja. Katanya, kalau ada rezeki tak ke mana. Rezeki yang tuhan bagi sekarang ini pun sudah lebih dari cukup, alhamdulilah. Aku sanjung pengorbanannya. Sekalung penghargaan buatmu wahai isteri.

Semasa party sempena perayaan kemerdekaan Brunai, aku mengambil kesempatan berkenalan dengan beberapa diplomat luar. Kenalanku semakin ramai dan banyak perkara yang kami bincangkan. Dari soal politik negara hinggalah kepada soal keluarga adalah antara topik yang dibincangkan. Aku berkenalan dengan Mark Ryniak, Second Secretary dari Kedutaan Amerika. Orangnya begitu mesra. Aku berhati-hati berbicara dengannya kerana aku dimaklumkan bahawa dia adalah agen CIA. Tidak semua soalan yang ditanya aku jawab. Aku juga berkenalan dengan Jesda Tivayanond dari Thailand, Jeffrey P. Salik dari Filipina dan Tina Mahat dari Singapura. Jesda mengajakku ke rumahnya hari sabtu ini untuk bermain catur. Aku kata kalau tiada apa-apa program, aku akan pergi. Lagipun rumah ku dengan rumahnya tidak berapa jauh. Pada permulaan bicara dengan mereka, aku kurang yakin kerana bahasa Inggerisku tidak lah berapa baik. Tetapi apabila aku dapati mereka pun sama sepertiku, aku bantai sahaja.Bercakap dalam bahasa Inggeris seolah-olah aku ni pandai sangat .Dan perbincangan antara kami semakin rancak. Menyedari hari sudah lewat, aku minta diri untuk pulang kerana esok ada banyak kerja yang perlu dibereskan.

Hari ini (25 Feb 2009), sejak pagi lagi aku sibuk menandatangani beberapa voucer bayaran dan menyemak buku vot jabatan, di tambah lagi dengan kedatangan beberapa pelajar yang ingin memohon bantuan kewangan dan khidmat nasihat. Sedar tak sedar sudah jam 10.45 pagi. Aku bergegas ke JUST dengan pemandu pejabat untuk menghadiri mesyuarat bersama Gabenor Irbid, President JUST dan Pesuruhjaya Polis Bahagia Utara Jordan. Kereta yang ku naiki memecut 150 km sejam. Aku perlu sampai ke sana sebelum jam 12.00 tengahari. Mesyuarat yang diadakan bagi membincang beberapa perkara, berkaitan keselamatan pelajar Malaysia di Irbid. Dulu sewaktu di BPI aku hanya berfikir bagaimana nak membina kurikulum dan pelaksanaannya sahaja, tetapi di sini aku perlu memikirkan bagaimana ingin meningkatkan prestasi akademik mereka dan keselamatan mereka. Sehinggkan perkara kecil pun perlu diambil tahu. Justeru itu, perjumpaan dan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan perlu diadakan lebih kerap.

Dalam kesibukan begini, tiba-tiba aku terkenang kepada seorang yang telah banyak berjasa kepadaku. Boleh ku katakan selepas kedua orang tuaku dialah yang banyak berjasa. Mendidik, memberi semangat dan sebagainya. Kali terakhir aku bertemu dengannya ialah pada cuti Hari Raya Aidilfitri tahun lepas iaitu seminggu sebelum aku dan keluarga berangkat ke Jordan. Tapi sayang dia telah pergi meninggalkan dunia fana ini pada 21 November 2009 lalu. Sewaktu itu aku sudah berada di Bumi Syam. Menurut ibuku, dia meninggal ketika solat asar pada sujud yang terakhir. Akan ku coretkan sedikit kenangan tentang beliau apabila ada kelapangan nanti. Aku cuba untuk dapatkan gambarnya dan akan ku postkan dalam ke dalam blog ini nanti. Buat kawan-kawan, kenangilah jasa orang yang telah berjasa kepada kita. Berilah sedikit penghargaan walaupun dengan seringkas terima kasih.


Biar di mana pun kita bekerja, kita perlu merasa seronok dengan kerja yang dilakukan. Jangan terlalu tertekan atau merasa gusar. Buatlah dengan sehabis baik. Mudah-mudahan kita akan bertemu dengan ketenangan di sebaliknya.