Saturday, August 1, 2009

Hari Keluarga BKAPJ (Perak)

Buah Anggur bergayutan di Jerash


Program pelajar puteri


Hari ini agak sibuk sedikit, walaupun cuti aku diminta oleh pelajar untuk menghadiri Hari Keluarga yang dianjurkan oleh pelajar negeri Perak. Isteri dan anak keduaku kena menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan pelajar di kediaman Dato' Duta di Abdoun. Rutinku disini tidak mengira masa, ada kadang-kadang siang, malam, pagi ataupun cuti hujung minggu. Sebelum datang ke Jordan dulu aku diminta sentiasa bersedia untuk berkhidmat selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Kesibukan telah menjadi darah dagingku. Cuma kesihatan yang kurang mengizinkan akhir-akhir ini menyebabkan pergerakanku sedikit terbatas. InsyaAllah mudah-mudahan cepat sembuh.



Untuk menghadiri Hari Keluarga pada hari ini, aku meminta Azmir memandu kerana aku masih belum berupaya memandu jauh. Dalam perjalanan ke Dibben Forest, Jerash aku singgah mengambil sahabat sesekolah denganku di Kelantan dahulu Dr Zukeri yang merupakan pensyarah IT di Jerash Univ.



Sesampai di Dibben, aku menyertai program bersama pelajar. Sambil berbual, kami makan dan menikmati 'keindahan alam semulajadi' Dibben. Aku tidak dapat bersama mereka lebih lama kerana aku ada temujanji bersama Abu Mohd, bekas tuan rumah yang aku sewa semasa belajar di Jordan Univ dulu.


Bersama putera-putera BKAPJ



Yang akan menamatkan pengajian

Lebih kurang pukul 3, aku sampai di rumah Abu Mohd. Aku disambut mesra setelah berpisah lebih 15 tahun lalu. Dia agak kurus dan beruban. Patut pun dan 61 tahun. Sedia menunggu aku pada ketika itu adiknya dan menantu serta anak dan cucunya. Kami berpelukan seketika selepas perpisahan pada tahun 1995. Pada tahun itu aku berkahwin dan berpindah ke Mu'tah. Kekadang sahaja aku datang menziarahi kawan2 di rumah lama. Abu Mohd sudah ku anggap sebagai bapaku. Kebaikannya tidak ada pada orang Arab lain. Beliau terlalu mulia dan baik hati jika dibandingkan dengan Arab lain yang suka mengambil kesempatan, penipu, berlagak dan bodoh. Mungkin pengalamannya sebagai Jurutera Royal Jordanian yang telah bermusafir ke seluruh pelusuk dunia menjadikan dia lain daripada Arab yang lain. Kami dihidangkan Mansaf Ayam. Berselera kami makan.



Disambut mesra oleh keluarga Abu Mohd


Mansaf ayam



Abu Mohd dan keluarga


Selepas Asar, Abu Mohd membawaku ke Ajloun Castle, salah sebuah kubu yang dibina oleh Solehuddin al-Ayyubi sebelum menakluki Palestine lebih 600 tahun lalu. Di atas puncak kubu tersebut dapat dilihat Kubah Kuning d Palestine, Tasik Tiberia ( tempat yang akan dilalui oleh Yakjuk dan Makjuk di akhir zaman) dan Majdalun ( tempat peperangan besar antara muslimin dan kafir di akhir zaman). Memandang tempat tersebut aku terasa sepi dan sebak. Di puncak bukit berhampiran terdapat makam nabi Khidir dan sahabat nabi Ikrimah bin Abi Jahal yang syahid dalam peperangan Yarmouk. Selepas mengambil gambar di puncak Ajloun, kami terus pulang ke Amman kerana senja telah semakin hampir.

Di puncak Ajloun Castle