Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Hari ini aku (16 Mei 2009) menerima beberapa sms dari rakan-rakan di Malaysia mengucapkan Selamat Hari Guru. Oh! sudah Hari Guru rupanya. Seingat aku kali terakhir aku menyambut Hari Guru ialah pada 16 Mei 2004 iaitu sewaktu aku masih mengajar di SMKA Maahad Hamidiah Kajang. Pada hari itu juga aku menerima banyak bunga dari pelajar. Ada sebahagian daripada ibu bapa mereka menghantar bakul buah-buahan ke rumah katanya sebagai ucapan terima kasih. Begitulah caranya mereka menghargai guru. Suasana itu tidak lagi dapat dirasai sekarang lebih-lebih lagi apabila aku berada jauh di perantauan.

Mengingat kembali kenangan menjadi guru akan menjadikanku seorang yang insaf. Insaf, betapa banyak tugasan dan tanggung jawab yang tidak dapat ditunaikan. Buat anak didikku yang terbaca entri ini, aku memohon jutaan kemaafan sekiranya ada kekasaran dan kecacatanku sewaktu aku menjadi guru kalian dulu. Mudah-mudaha kalian berjaya di dunia dan akhirat.

Kepada semua guruku, aku mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi mendidikku sehingga dapat ku kenal merah dan biru dan sehingga ku berjaya. Mohon halal segala ilmu yang kalian berikan kepadaku selama masa.

Kepada semua guru terutama guru-guru j-QAF, teruskan usaha kalian untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Jasa kalian akan dikenang sepanjang zaman.

Terima Kasih Cikgu..........