Sunday, September 20, 2009

Berhari Raya Di Perantauan

Bersama isteri di Kedutaan


Sudah lama aku tidak menulis dalam blog ini. Kesihatan yang tidak berapa mengizinkan menjadikanku sukar untuk mengembangkan idea yang banyak bersarang dalam benak fikiranku ini. Dengan ketibaan lebaran ini, aku gagahi jua menulis buat bacaan dan tatapan keluarga dan rakan-rakan di seluruh dunia.

Selamat Hari Raya Dari Kami Untuk Semua

Hari ini 1 syawal 1430H bersamaan 20 September 2009 merupakan hari yang menggembirakan seluruh umat Islam seluruh dunia termasuk aku sekeluarga. Pada tahun ini adalah kali kelima aku beraya di perantauan. 4 kali menyambut lebaran sewaktu aku belajar dahulu dan tahun ini kali pertama menyambutnya setelah berkidmat di JPM Jordan. Perasaan kami bercampur-campur antara sedih dan gembira. Sedih kerana tidak dapat bersama keluarga dan gembira kerana walaupun jauh di negara orang kami masih dapat menyambut hari raya dalam suasana sederhana dan meriah. Isteriku sewaktu menelefon keluarga di kampung tidak dapat menahan sebak lalu manik-manik jernih gugur juga akhirnya. Ibuku juga menangis sewaktu ku menelefonnya semalam. Hatiku sebak, namun dapat ku tahan.


Untuk sambutan Aidilfitri di kedutaan pada hari raya pertama, isteriku diminta untuk menyediakan beberapa juadah. Lemang dan beberapa jenis juadah yang lain disediakan. Aku tidak dapat membantu sepenuhnya. Ini disebabkan aku tidak boleh berdiri lama dan juga tidak dapat duduk bersila lama. Kedua puteriku sudah boleh diharap, merekalah yang banyak membantu isteriku.


Sewakku membungkus lemang dengan daun pisang, aku teringat nostalgia sewaktu kecil dulu. Biasanya arwah datukku menyuruhku pergi mencari buluh untuk dibuat lemang. Dialah yang mengajarku memilih buluh lemang. Perkara yang tidak dapat ku lupa ialah dia mengajarku bagaimana memilih buluh untuk dibuat meriam buluh. Buluh lemang dipilih bersama buluh meriam. Biasanya malam tujuh likur aku akan membuat meriam untuk dimain pada malam tersebut hinggalah malam raya. Di kampung meriam buluh yang ku buat menjadi sebutan ramai kerana bunyinya kuat dan tidak pernah pecah. Pernah beberapa rakan-rakan mengupahku untuk membuat meriam untuk mereka. Pak Imam di masjid tidak pernah marah padaku kerana aku selalu berada di masjid menjadi bilal khususnya ketika solat terawih. Walaupun ada orang mengadu kepadanya, dia akan tetap membelaku. Paling tidak dia akan berkata, "budak-budak biasalah main meriam buluh". Aku hanya akan bermain meriam buluh tidak lebih pukul sepuluh setengah malam, selepas itu aku balik ke rumah untuk study atau tidur. Itu dulu-dulu. Isteriku menyediakan juadah hingga lewat pagi. Esok pagi-pagi lagi kami akan ke kedutaan untuk menyambut Aidilfitri di sana.


Pagi raya, setelah semua bersiap kami bertolak ke kedutaan. Tahun ini tema pakaian kami ialah biru muda. Sedondon macam kumpulan boria.

Bersama Keluarga Azmir



Di kedutaan, semua sudah berkumpul. Beberapa minit kemudian, pelajar pun sampai. Kami terus basement untuk solat Aidilfiti. Dato' Duta memintaku mengimami solat dan seterusnya menbaca khutbah.

Selesai solat kami ke tingkat atas untuk majlis ringkas. Dato' menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dan kami bersalaman antara satu sama lain. Juadah raya yang disediakan dijamah satu persatu. Nasi himpit berkuah kacang, lodeh,r endang, lemang serta kuih muih menjadi sasaran kami. Sambil makan, lagu-lagu raya dimainkan. Ramai juga tetamu yang datang. Ini menghilang kesayuan dan ingatan kami kepada keluarga di kampung. selain itu, tetamu yang hadir disajikan dengan beberapa persembahan termasuk nyayian dan tarian. Ada juga di kalangan tetamu yang berkaroeke.
Bersama Kelurga Kolenel Adnan
Jam dah menunjukkan pukul dua lebih. Kami meminta izin untuk pulang ke rumah. Sampai di rumah anak-anak merungut keletihan. Aku hanya senyum.
Bersama Hasmat
Dalam kesepatan ini kami menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sama disedari atau tidak, sengaja ataupun tidak disengajakan.

Sambutlah salam kami dari kejauhan.................