Monday, October 12, 2009

Misi Ke Syria

Hari ini 12 Oktober 2009, aku telah diminta oleh Us Sulaiman untuk menjalankan bebarapa misi di Syria. Misi kali ini lebih kepada perjumpaan dengan beberapa pentadbir kolej di sana. Minggu lepas aku telah membuat beberapa temujanji dengan pentadbir kolej tersebut. Aku menpunyai 3 temujanji hari ini. Pukul 10 pagi, pertemuan dengan En Yaseer Hussh, Pembantu Pengarah Kolej Ahmad Kiftaro. Manakala Pukul 11 pagi, aku ada mesyuarat bersama Presiden dan beberapa AJK Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) di Rumah Persatuan Damascus. Dan pertemuan terakhir pada pukul 12 tengahari bersama En Mohd Khair al-Thorsyan, Pengurus Kolej Fath Islami.

Aku terpaksa menyusun temujanji sedemikian rupa kerana jarak dari Amman ke Damascus mengambil masa selama 3 1/2 jam. Pertemuan ringkas dan keputusan tepat dalam jangka masa singkat perlu dibuat. Inilah latihan yang diberikan oleh INTAN kepada semua diplomat lebih setahun lalu. Latihan ini dinamakan 'making decision'. Rupanya latihan itu perlu dipraktik di sini lebih-lebih lagi masa yang suntuk dan perjalanan yang jauh perlu kita hadapi.

Driver pejabat telah menungguku di hadapan rumah seawal 6.00 pagi. Anak-anak hari ini terpaksa ke sekolah dengan teksi. Mereka dah biasa. Sekiranya aku terpaksa ke Syria atau perlu keluar rumah awal pagi, teksilah yang menghantar mereka. Biarlah mereka susah sedikit.


Tak Nampak Tanah Lagi

Kami sampai di Kolej Ahmad Kiftaro 20 minit lebih awal. Sempat sebelumnya sarapan roti dengan syuqaf ayam berhampiran masjid Darwish. Biasalah suasana di Syria, sesak, kotor dan rakyat yang sibuk tak ketahuan.


Kami disambut oleh penyambut tetamu kolej dan dibawa ke bilik menunggu. Lama juga aku menunggu di situ. Lebih 20 minit aku menunggu En Yaseer. Setelah dia datang kami berbincang beberapa perkara kemudian dia mencadangkan aku supaya bertemu dengan Pengetua Kolej yang baru. Aku terkejut, kemana Syeikh Solahuddin Kiftaro Pengetua dulu? Aku mendapat tahu bahawa Syeikh telah ditangkap dan sekarang ini berada dalam penjara. Apa salahnya aku pun tak faham. Selepas bertemu dengan Pengetua kolej dan berbincang beberapa isu, aku meminta izin untuk beredar.

Berbincang Dengan En Yaseer al-Huush

Misi diteruskan lagi ke Rumah Persatuan. Di sana Presiden dan beberapa AJK persatuan telah sedia menunggu kedatanganku. Aku dipelawa masuk dan kami terus memulakan perbincangan tanpa membuang masa. Selepas beberapa keputusan diambil dan dipersetujui, aku bersama pelajar bergerak ke Kolej Fatah Islami.

Meninjau -ninjau di France Palace

Kami tiba di Fatah Islami tepat jam 12.00 tengahari. Pengurus kolej sudah menungguku. Perbincangan diteruskan, kemudian kami dibawa ke France Palace untuk meninjau tempat program Keusahawanan yang akan diadakan pada November nanti. Selepas beberapa kata sepakat dipersetujui, aku mengajak pelajar yang ikut serta untuk merasai keenakkan nasi Mandi di Restoran Yaman di bandar Damascus.

Menjamah Nasi Mandi

Selepas keenakkan nasi Mandi diratah, aku terus pulang ke Amman. Dalam perjalanan pulang aku singgah di bandar Buosra untuk meninjau kota binaan zaman dulu. Aku dimaklumkan bahawa penggambaran filem 'Gladiator' diadakan di situ. Aku bercadang menziarahi pasar tempat Rasulullah berniaga tapi masa tidak berkesempatan. InsyaAllah aku akan datang lagi.

Di hadapan Kota Rome Tempat Penggambaran 'Gladiator'

Sampai di rumah hari sudah senja.