Hujung minggu ini padat disi dengan program pelajar termasuk persiapan bagi mengadakan 'Open House" di MSD. Seawal petang Khamis aku dan isteri serta dibantu beberapa rakan dari Embassy bertunggus lumus membuat persiapan. Bermula dari mengupas bawang hinggalah menumisnya dilakukan oleh kami dengan sempurna. Seronok juga buat kerja ini. Kawan-kawan isteriku turut datang membantu. Terasa kemesraan antara kami. Selain itu, beberapa pelajar dari Mu'tah turut datang membantu. Antara mereka merupakan adik kepada kawanku Shuib. Di mana kau sekarang Shuib?
Sambil mengupas bawang, banyak cerita yang dibualkan. Macam-macam, dari perkara serius hinggalah kepada merapu. Semuanya dirangkul bersama menjadikan kerja malam itu tidak terasa banyak. Sedar-sedar sudah habis bawang dikupas oleh kami.
Aku pun pandai kupas bawang
Mengupas bawang ke mengumpat orang?
Pagi Jumaat aku menerima dua jemputan progam pelajar. Sambutan Aidilfitri Pelajar Amman dan Sambutan Aidilfitri Bagi Pelajar University Al al-Bayt perlu ku hadari. Tahun ini pelajar Amman menyambut Aidilfitri di tempat yang 'istimewa' dan lain dari yang lain. Mereka menyambutnya di Wadi Shuib berhampiran Maqam Nabi Shuib. Di sana terdapat sebatang anak sungai yang sebesar parit di tempat kita. Di situlah Arab Jordan berkelah di hujung minggu. Airnya jika musim sejuk amat jernih manakala pada musim panas sedikit kering dan keruh kerana petani Arab menggunakannya untuk tujuan pertanian di samping tempat lalu lalang kepada biri-biri dan keldai mereka. Kalau di Malaysia tak teringin pun kita nak ke situ, tapi di sini tempat sebegitu boleh dikatakan okey. Tak ada rotan akar pun berguna, tak sungai parit pun boleh lepas gian juga. Aku menyampaikan sepatah dua kata kepada pelajar kemudian mengikuti sebahagian aktiviti yang diadakan oleh mereka. Sempat juga menjamah beberapa cucuk sate yang disediakan.
Menyampaikan sepatah kata di atas pentas semulajadi
Bersama pelajar Phd
Ibu-ibu bersama anak-anak yang hadir
Kemudian aku bergegas ke Universiti Al-al-Bayt untuk program yang sama di sana. Aku sampai di sana agak lewat tetapi nasib baik majlis belum bermula. Kelewatan majlis disebabkan eletrik terputus dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Walaubagaimanapun majlis berjalan lancar. Selepas solat jumaat di masjid universiti aku terus ke rumah untuk membuat persiapan hari raya. Dalam perjalanan, aku menerima panggilan dari pelajar yang ingin datang beraya di rumah. Seperti biasa dengan senang hati aku menjemput mereka.
Majlis Hari Raya Di University Al al-Bayt
Sampai di rumah, Azmir dah sedia menunggu. Beberapa minit kemudian pelajar yang menelefonku tadi tiba. Aku berbual seketika di samping ke belakang rumah menengok-nengokkan masakan di atas dapur. Selepas pelajar tersebut beredar barulah kami emulakan kerja masak-memasak secara serius. Lewat malam baru siap. Lenguh-lenguh juga badan.
Sedang Menumis
Action je tu!
Pagi Sabtu, pagi-pagi lagi kami menyiapkan beberapa menu yang belum disiapkan. Dalam pukul 8.00 pagi, Mahmoud dan Ibrahim datang mengambil makanan tersebut. Selepas semua barang diangkut oleh mereka, aku bersiap untuk ke MSD.
15 minit sebelum 11.00 pagi aku dan keluarga tiba di MSD. Semua kelengkapan telah tersedia termasuk makanan. Lebih kurang pukul 11.20 pagi pelajar dari Irbid tiba diikuti tetamu dari MTCP. Pelajar dari Mu'tah, Amman dan Mafraq tiba serentak menjadikan suasana di pejabat MSD penuh sesak. Dari tangisan kanak-kanak hinggalah hilai tawa pelajar menjadikan suasana 'Rumah Terbuka' amat meriah.
Pelajar Yang Hadir
Mereka sedang menjamu selera
Terima kasih kepada semua tetamu. Mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan.