Monday, November 2, 2009

Pengarah UNRWA Memeluk Islam

Bersama Pengarah UNWRA

Richard Bertanya, Aku Menjawab

Dia Mengucap Syahadah


Hari ini adalah hari yang paling menggembirakanku apabila Pengarah UNRWA, Richard J. Cook datang ke JPM Jordan dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk Islam. Dua minggu sebelum, beliau telah datang ke pejabat dan berbincang dengan Pengarah. Hari ini Us Sulaiman terpaksa menghadiri mesyuarat bersama Dato' Duta, jadi aku telah diamanahkan berurusan dengan Mr Richard.


Beliau adalah warga Britain dan telah berkhidmat dengan UNWRA selama 31 tahun. Beliau akan bersara tahun depan. Lelaki ini telah bercerai lebih 15 tahun yang lalu dan pernah berkhidmat di beberapa negara Arab sebelum datang ke Jordan. Umurnya sekarang sudah 59 tahun sebaya dengan ayahku.

Dalam pertemuan itu, aku menerangkan kepadanya beberapa asas Islam. Sebenarnya dia telah mengenali Islam sudah lama. Melalui pembacaan dan perbincangan dengan beberapa kawannya. Terasa aku tidak layak untuk membimbingnya kerana kekurangan yang ada pada diriku. Sekurang-kurangnya, biarlah ini menjadi amal soleh apabila ku bertemu dengan Allah nanti. Akhir sekali beliau mengucap dua kalimah syahadah tanda beriman kepada Allah.

Aku menitis air mata tanda terharu dan bersyukur selepas beliau mengucap syahadah. Kemudian aku terus membawanya ke Mahkamah Syariah yang terletak di Down Town Amman untuk mendaftar beliau sebagai warga Islam.


Ini kali pertama aku ke mahkamah tersebut. Tersorok sedikit. Sampai di sana, aku dan Richard terkejut dengan suasananya. Mengalahkan pasar ikan di Bandar Baru Bangi. Kotor, berserabut dan memualkan. Pegawainya persis pengawal penjara langsung tidak mesra pelanggan, garang dan tidak profesional. Arab begitulah di mana-mana. Kemudian aku disuruh buat macam-macam, dari fotostat dokumen sampai lah kepada menterjemahnya. 'Apa susah sangat nak masuk Islam ni?' rungutku kepada seorang pegawai. "Kalau macam ni lah perangai kamu semua, orang susah nak masuk Islam, rosak Islam sebab perangai kamu', tambahku. Pegawai itu tidak puas hati. Apa lagi aku dimaki hamunnya. Aku membalas dengan maki hamun yang lebih dahsyat. 'Allah yufdih ardhok', kataku. Dia terdiam apabila aku menunjukkan kad diplomatik. Aku menambah lagi. " Aku akan buat laporan kepada Kementerian Wakaf cara kamu melayan kami hari ini'.

Kemudian aku masuk ke bilik Qadhi. Di sana Richard diberi beberapa penerangan tentang Islam. Richard tidak boleh berbahasa Arab, Qadhi pula tidak boleh berbahasa Inggeris. Aku lah yangh tidak pandai Inggeris ni yang jadi penterjemahnya.
Selepas urusan selasai, aku pulang ke pejabat. Aku kalau seboleh tidak mahu berurusan dengan Arab. Melemaskan. Perkara mudah boleh jadi susah kalau dapat kat depa.